Thursday, April 24, 2014

Psikologi: Kemurungan dalam kalangan orang tua


                                                             ABSTRAK

Kemurungan atau depresi pada usia tua selalunya didiagnosis berdasarkan dua kluster simptom (perubahan dalam perasaan dan tubuh badan fizikal) yang berlaku dalam tempoh masa sekurang-kurangnya dua minggu. Kemurungan adalah berbeza dengan kesedihan, kemurungan adalah berterusan dan boleh mengganggu aktiviti-aktiviti harian dan juga menjejaskan hubungan baik di antara manusia. Walaupun tahap teruk kemurungan akan menurun apabila umur manusia semakin meningkat, tetapi ia masih merupakan satu masalah yang ketara kepada kebanyakan orang tua. Penerangan teori perkembangan psikososial oleh Erik Erikson menghuraikan pendapat integriti serta putus asa yang menjadi pemangkin kepada tahap pemikiran warga emas ini. Walau bagaimanapun, rawatan dan strategi yang rapi boleh membantu untuk mencegah simptom-simptom depresi daripada berlaku.

Kata kunci: kemurungan, gejala psikologi dan biologi, teori psikososial, terapi sokongan dan intervensi biologi

1.0  Pengenalan.
Malaysia dikejutkan berita yang mendugacitakan. Utusan Malaysia telah melaporkan pada 31 Januari 2014 di Bangi, Selangor satu kejadian menyayat hati kepada seluruh rakyat Malaysia apabila seorang bapa telah mengelar hingga mati anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dan mencederakan dua lagi anak perempuannya di rumah mereka di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi.
Pada pukul 4.15 petang hari kejadian, Norazman Mohammad mencederakan anak-anak perempuannya yang berusia 10 dan 12 tahun di tengkuk dan tangan hingga menyebabkan seorang daripadanya putus jari manakala anak bongsunya berusia 7 tahun (si mati) terbaring di atas katil bilik bawah. Hasil soal siasat terhadap isteri suspek (42 tahun yang bekerja sebagao pegawai penyelidikan di TM Cyberjaya memberitahi suspek tidak bekerja sejak 1 tahun lepas dan sering menghadapi tekanan perasaan sejak kebelakangan ini. Walaubagaimanapun isteri tidak pernah bertanya sebabnya. Dia diberi kepercayaan hanya tinggal di rumah menjaga anak-anaknya sementara si isteri keluar bekerja. (Utusan Malaysia, 2014)
Kes ngeri di atas hanyalah salah satu kes di antara ribuan kes yang menghiasi dada- dada akhbar berpunca kerana penyakit kemurungan. Kemurungan adalah satu bentuk gangguan emosi paling umum. Gangguan kemurungan sebenarnya merupakan satu penyakit biasa dan lebih umum daripada hipertensi atau diabetes. Kadar kelaziman kes kemurungan dalam sesebuah jangka hayat di mana-mana negara adalah antara lapan hingga 10 peratus. Beberapa kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia mendapati kemurungan adalah penyakit ke empat paling serius dalam melumpuhkan jiwa seseorang di dunia.  (Utusan Malaysia, 2008)
Dalam tugasan ini, perbincangan lebih lanjut isu-isu yang berkaitan dengan  kemurungan di kalangan warga emas daripada perspektif Psikologi Orang Dewasa dan Orang Tua. Disamping itu, kupasan yang lebih teliti tentang teori berkaitan iaitu  teori psikososial Erik Erikson pada peringkat integrity VS putus asa seterusnya mencari faktor penyebab dan cara menangani masalah kemurungan ini.

2.0  Gejala kemurungan.
Menurut Manual Diagnostik dan Statistik Masalah Mental IV (DSM-IV), diagnosis kemurungan hanya boleh dilakukan jika terdapat sekurang-kurangnya lima simptom kemurungan yang hadir untuk tempoh sependek dua minggu. (Utusan Malaysia, 2008) Signifikan kehadiran simptom-simptom ini perlu ketara sehingga menjejaskan aspek sosial dan pekerjaan seseorang. Gejala-gejala kemurungan diklasifiasikan kepada 2 bahagian, secara biologi serta secara psikologi. Beberapa perubahan dapat kita kenalpasti sebagai simptom kepada kemurungan ini. Gejala dari segi biologi adalah insomnia, perubahan selera makan, serta kelemahan daya pemikiran. Manakala dari segi psikologi pula, individu merasa rendah diri atau putus asa, tidak kawalan emosi, dan sering berfikir soal kematian atau membunuh diri.
1.1  Insomnia.
Gejala pertama yang sering dihidapi adalah insomnia (tidak dapat tidur) ataupun terlalu banyak tidur. Fisiologi  tidur berubah apabila umur seseorang semakin meningkat. Tempoh tidur di kalangan warga tua adalah lebih pendek berbanding mereka yang pertengahan umur. Tidur mereka menjadi kurang nyenyak dan lebih kerap terjaga di waktu malam. Warga tua mungkin akan lebih banyak tidur di waktu siang. Insomnia jangka pendek berlaku jika lebih banyak tekanan yang datang (contohnya kematian seseorang yang disayangi, dibuang kerja atau berlaku penceraian), insomnia sementara mungkin melarat menjadi insomnia jangka pendek dan biasanya insomnia jenis ini akan berlarutan tidak lebih daripada 3 minggu.
1.2  Hilang selera makan.
Gejala ke dua pula adalah perubahan selera makan. Kurangnya selera makan dan menyebabkan hilangnya berat badan, tapi pada beberapa orang yang mengalami masalah kemurungan akan  menyebabkan meningkatnya selera makan dan bertambahnya berat badan. Ia memberi kesan naik atau susut berat badan dan seterusnya mendatang penyakit lain seperti hipertensi iaitu diabetis dan darah tinggi. Warga tua dilihat memilih makanan walaupun sebenarnya makanan tersebut adalah kesukaan mereka namun pada tahap kemurungan mereka kehilangan nafsu atau keghairahan dalam melakukan apa sahaja aktiviti.
1.3  Perubahan psikomotor.
Gejala ke tiga yang dapat kita perhatikana adalah kelambatan dalam berpikir, berbicara, atau bergerak. Golongan tua ini bermasalah dalam berfikir, konsentrasi, membuat keputusan dan mengingat sesuatu. Mereka tidak fokus semasa berbicara, seperti berada di awangan sebagai contoh ketika sedang berbual, mereka tiba-tiba senyap dan memandang jauh. Kadir (2013) mengatakan mereka juga cepat lupa yang bukan berpunca daripada masalah nyanyuk atau dalam istilah perubatan dinamakan “pseudodementia” [pseudo bermaksud palsu ] sebagai contoh bangun sahaja dari tidur terus bertanya tentang suaminya sedangkan individu tersebut sudah meninggal dunia. Selain itu kelambatan dalam pergerakan juga antara permasalahan yang mungkin gejala depresi. Maka anggota kelarga harus peka terhadap setiap aduan kesakitan Somatik atau Hypochondriasis (sering mengalami pelbagai jenis sakit-sakit tanpa diketahui puncanya terutama pada punggung, pinggang dan tulang belakang) yang di alami oleh pesakit.
1.4  Perubahan emosi.
Gejala kemurungan yang paling ketara sebenarnya dapat dikesan melalui psikologi dan tanggapan emosinya. Pesakit kemurungan akan menyimpan perasaan tidak berharga atau bersalah dan terpaku pada kesalahan masa lalu atau menyalahkan diri sendiri ketika sesuatu yang dilakukan menjadi tidak kena pada mereka. Rasa rendah diri, putus asa dan tiada harapan lagi untuk memperbetulkan keadaan. Mereka akan memendam perasaan dengan sangat mendalam, menyendiri, kurang berbual dengan anggota keluarga dan akhirnya berhalusinasi, berbual seorang diri serta berfikiran mampu mendengar suara lain. (Skizofrenia)
Orang tua dengan depresi mengatakan mereka tidak puas dengan hidup yang biasa, membosankan, tidak berdaya atau tidak berguna. Mereka selalu ingin duduk diam dirumah, daripada pergi bersosialisasi atau mencuba sesuatu yang baru.. Rasa tidak berfaedah hidup lagi kerana tidak dapat menyalurkan tenaga atau bantuan kepada individu lain menyebabkan pemikiran negatif menguasai tindakan. Sering berfikir tentang penderitaan atau kejatuhan dan menyebut tentang kematian sebagai jalan penyelesaian terbaik.
Gejala kemurungan pada warga emas yang sangat ketara adalah tiada kawalan emosi. Apabila seseorang itu kemurungan, jiwa mereka sangat sensitif dan  sentiasa rasa diabaikan. Warga emas ini sering mengalami rasa cemas, gelabah dan marah-marah. Apa sahaja situasi, mereka akan bereaksi dengan segera (rifleks). Apabia masalah kegemuruhan terjadi, mereka hanya menfokus kepada diri sendiri tetapi tidak pada orang lain di sekelilingnya. Jika sesuatu terjadi tidak kena pada pandangannya, mereka mudah panas baran terutama bagi lelaki manakala wanita pula akan menangis jika hati mereka tersentuh contohnya rasa terpinggir dan bersendirian. Perasaan sunyi yang sangat dalam, rasa keseorangan tanpa perhatian, cara layanan tidak mesra dari anggota keluarga membuat mereka rasa sangat tersisih walaupun tinggal sebumbung.
3.0 Teori psikososial Erik Erikson.
Teori Erik Erikson tentang perkembangan manusia dikenal dengan teori perkembangan psiko-sosial. Menurut Erikson, perkembangan ego selalu berubah berdasarkan pengalaman dan informasi baru yang kita peroleh dalam berinteraksi dengan orang lain. Erikson juga percaya bahwa kemampuan memotivasi sikap dan perbuatan dapat membantu perkembangan menjadi positif.
Integritas vs putus asa)
Erikson menghasilkan peringkat perkembangan sosio-emosi manusia dengan lapan peringkat, mulai dari peringkat bayi hingga peringkat tua. Beliau menyatakan bahawa di dalam setiap peringkat tingkah laku positif dan negatif akan timbul yang menyebabkan penyesuaian psikologikal kerana konflik emosinya.

Menurut Erikson, pada peringkat akhir dewasa akan mengalami tahap integriti lawan putus asa yaitu kemampuan perkembangan warga emas mengatasi krisis psikososialnya Terjadi selama masa akhir dewasa (60an tahun) iaitu golongan warga emas. Dalam  fasa ini warga emas cenderung melakukan cerminan diri terhadap masa lalu. Banyak stereotip positif dan negatif yang mampu mempengaruhi keperibadian warga emas. Hal ini dapat dilihat dengan jelas pada hubungan sosial dan produktivitinya.  Fasa ini merupakan kemuncak perkembangan iaitu berkaitan dengan kejayaan hidup berkeluarga dan kerjaya mereka yang akan menimbulkan kepuasan dalam diri. Integriti  penting dalam menghadapi kehidupan dengan rasa kepuasan dan bahagia.

Integriti paling tepat diibaratkan sebagai suatu keadaan yang dicapai seseorang setelah memelihara benda-benda, orang-orang, produk-produk dan idea-idea, serta setelah berhasil melakukan penyesuaian diri dengan berbagai kejayaan dan kegagalan dalam kehidupannya. Integriti adalah perasaan positif menjadi sebahagian dari aturan kehidupan individu tersebut. Integriti juga bererti masa untuk mencermin kembali  takdir diri sendiri secara berhikmah setiap perjalanan hidup sama ada pahit manis, suka duka, cubaan dan kurniaan, halangan dan laluan kesemuanya menjadi bekal untuk dia meneliti dan memahami “apakah makna sebuah perjalanan hidup dan ke mana jalan yang hendak dituju?” Dalam fasa ini, warga emas telah mengumpulkan pengalaman dan  mengambil iktibar dari pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kedangkalan ketika usia muda yang lepas, lebih santun, lebih berhati-hati, melempar jauh kegopohan lepas, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian serta mensyukuri atas segala nikmat yang diperolehi selama ini. Usia 60 adalah usia matang yang berbekalkan pengalaman enam dekad. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini.

Lawan integriti adalah putus asa, yaitu rasa takut mati dan hidup terlalu singkat, rasa, kekecewaan.  
Warga emas yang tidak berhasil integritinya pada fasa ini, akan merasa bahwa hidupnya hanyalah sia-sia dan mengalami banyak penyesalan. Individu akan merasa kepahitan hidup dan putus asa. Usia ini banyak menimbulkan masalah baru dalam kehidupan seseorang. Meskipun masih banyak waktu luang yang dapat dinikmati, namun karena penurunan fisikal atau penyakit yang melemahkan telah membatasi kegiatan dan membuat seseorang itu tidak merasa berdaya. Keyakinan diri semakin digoyahkan oleh usianya yang mendekati akhir ataupun kematian. Akibat perubahan fizikal yang semakin menua maka perubahan ini akan sangat berpengaruh terhadap peranan dan hubungan dirinya dengan lingkungannya. Dengan semakin lanjut usia seseorang secara beransur-ansur ia mulai melepaskan diri dari kehidupan sosialnya karena berbagai batasan yang dimilikinya. Keadaan ini mengakibatkan interaksi sosial warga emas menurun, sama ada secara  kualiti mahupun kuantitinya sehingga hal ini secara perlahan mengakibatkan terjadinya kehilangan dalam berbagai hal yaitu: kehilangan peranan ditengah masyarakat, hambatan masalah fizikal dan komitmen berkurangan.Walaupun masih memiliki beberapa keinginan atau tujuan yang akan dicapainya tetapi kerana faktor usia semangat mereka menjadi luntur. Dalam situasi ini individu tersebut mudah merasa putus asa.  Jalan pintas yang dilakukan oleh seseorang yang gagal dalam tahap ini akan memilih putus asa, hal ini akan menjadi sumber ketakutan yang mendalam sehingga seakan-akan tidak ada ruang lagi untuk bergerak lebih aktif dan dinamik ditambah lagi dengan kefanaan hidup menjelang kematian.
4.0 Faktor Penyebab  Risiko Kemurungan
Kemurungan berpunca dari pelbagai sebab antaranya secara biologi, tekanan hidup dan kematian pasangan.

Zuraida(2009) berkata kemurungan dan rasa sakit saling berkait sebagai contoh apabila pesakit hilang selera makan, sentiasa berfikiran negatif dan tidak lagi memberi tumpuan pada diri sendiri yang menyebabkan sistem imunisasi lemah. Dua neurotransmiter iaitu serotonin dan noradrenalin terbabit dalam kawalan kemurungan dan kesakitan. Apabila seseorang mengalami kemurungan, paras neurotransmiter berkurang dan menyebabkan kesakitan lebih terasa, Kajian mendapati dua pertiga daripada pesakit yang menerima rawatan anti kemurungan dilaporkan mengalami kesakitan fizikal seperti kerap sakit kepala, pinggang, otot dan perut.
Penyebab seterusnya adalah genetik keturunan. Depresi muncul pada orang yang memiliki anggota keluarga yang juga mengalami kondisi tersebut. Ahli psikologi sedang mencuba untuk menemukan gen apa yang mungkin terlibat dalam menyebabkan depresi. 47 peratus pesakit kanser mengalami masalah psikiatri terutamanya jika kanser sudah merebak dan mereka berasa sangat sakit. Masalah psikiatri yang biasa pada pesakit kanser ialah kemurungan dan keresahan. Kanser adalah antara penyakit keturunan begitu juga kemurungan. Kemurungan tidak menyebabkan kanser tetapi kanser boleh mengakibatkan seseorang mengalami kemurungan. Pada masa sama, kebanyakan pesakit murung juga ada masalah kesihatan lain seperti diabetis dan darah tinggi.
Terdapat beberapa tekanan yang membuat orang usia tua ini menarik diri daripada terlibat dalam sosial. Ketika usia pencen tiba dan lingkungan berubah, warga emas mungkin lepas dari peranan dan aktiviti selama ini. Antara factor tekanan lain meningkatkan risiko berkembangnya atau memicu munculnya depresi, yaitu memiliki kejadian traumatic ketika saat kanak-kanak atau memiliki anggota keluarga yang mengalami kejatuhan. Warga emas pada peringkat ini memiliki suasana hati pilu apatah lagi jika mempunyai sebarang penyakit serius, seperti kanser, serangan jantung, Alzheimer’s atau HIV/AIDS yang membawa kepada kematian. Penyakit-penyakit ini akan menurunkan kemampuan fisikal dan mental mereka, membuat ia terlalu memikirkan diri sendiri secara berlebihan. Tekanan semakin terasa jika orang-orang yang lebih muda disekitarnya cenderung menjauh darinya dan  pada saat kematian semakin mendekat, warga emas ini seperti ingin membuang semua hal yang bagi dirinya tidak bermanfaat lagi. Warga emas ini mula berubah sikap tertentu, seperti  kepercayaan  rendah diri dan sikap suka bergantung kepada orang lain yang berlebihan.

Perkahwinan menjadi faktor yang boleh melindungi kaum lelaki daripada kemurungan kerana merasakan kehidupan mereka sudah sempurna dan tanggungjawab selebihnya itu dialihkan kepada isterinya. Maka tidak hairanlah sekiranya berlaku kematian pasangannya atau kehilangan orang yang dicintainya, lelaki terdedah untuk mengalami kemurungan. Sifat bergantung kepada pasangan menyebabkan mereka tidak dapat menguruskan diri sendiri. Warga emas yang kemurungan ini biasanya hilang selera makan, sentiasa berfikiran negatif dan tidak lagi memberi tumpuan pada diri sendiri yang menyebabkan sistem imunisasi lemah dan mereka mudah mendapat penyakit, termasuklah jangkitan kuman. Perasaan sunyi yang membelenggu diri tidak dapat diubati dengan menempatkan mereka di rumah penjagaan warga emas. Kematian pasangan menyebabkan mereka sentiasa dilitupi dengan perasaan berkabung, berpegang dengan kenangan, hilang arah tuju dan sering mengingati kisah silam secara kronik yang akhirnya menyebabkan rasa sunyi yang terlalu mendalam sehingga tercetusnya perasaan ingin membunuh diri.

5.0 Rawatan.
Kemurungan bukanlah penyakit yang sengaja diada-adakan atau yang terpendam di dalam otak. Ia memang penyakit yang memerlukan rawatan dan mempengaruhi berjuta-juta manusia setiap tahun. Namun demikian, kemurungan sering disalah tafsir atau pun tidak disedari langsung. Sesetengah orang mungkin tidak mendapatkan rawatan kerana merasakan satu hari nanti kemurungan itu akan hilang dengan sendirinya. Ada beranggapan bahawa kemurungan adalah satu kelemahan atau kegagalan peribadi yang perlu ditangani sendiri manakala ada yang lain tidak sedar bahawa terdapat rawatan perubatan yang berkesan untuk kemurungan. Rawatan sepatutnya diberikan pada warga emas yang mengalami kemurungan dalam apa sahaja perawatan cabang psikiatri, pendekatan secara holistik atau pendekatan biopsiko sosial amatlah dititikberatkan yang mana ia bukan sahaja rawatan dari segi ubatan tetapi juga merangkumi intervensi psiko-sosial.
Intervensi perubatan mengamalkan rawatan ubat anti kemurungan [Antidepressant] dengan memberikan ubat seperti Escitalopram (Lexapro), Mirtazapine (Remeron) dan lain-lain. Prinsip memberi ubat antikemurungan pada golongan warga emas adalah sama iaitu “bermula dengan perlahan, kesan perlahan” Pada dasarnya, dalam merawat kemurungan dikalangan warga emas, saya lebih memilih ubat yang dikategorikan sebagai ubat generasi baru yang kurang kesan sampingan berbanding ubat-ubat generasi terdahulu  yang banyak kesan sampingan serta toksik sekiranya diambil pada dos yang berlebihan.
Bagi pesakit yang pertama kali berdepan masalah kemurungan, pengambilan ubat biasanya hanya untuk satu hingga dua tahun dan tempoh ini meningkat kepada dua hingga tiga tahun jika mengalami dua episod kemurungan. Namun jika memberhentikan sendiri pengambilan ubat, risiko penyakit berkenaan berulang adalah tinggi iaitu 50 peratus bagi pesakit yang kali pertama, 75 peratus (episod kedua) dan 95 peratus (episod ketiga kemurungan). Lebih kerap seseorang mengalami kemurungan, peluang untuk penyakit berulang lebih tinggi jika pengambilan ubat dihentikan. Ubat tahan sakit tidak dapat mengatasi kemurungan. Malah ujian darah, ujian sinar-X atau hasil imbasan CT juga tidak dapat mengesan penyakit ini yang akhirnya membawa pesakit kepada pengamal perubatan alternatif dan tradisional
Terapi Kognitif tingkahlaku   (CBT) adalah satu kaedah tanpa ubat yang berkesan untuk kemurungan. CBT adalah satu anggapan bahawa suasana peribadi akan terus dikaitkan dengan corak pemikiran mereka. Negatif, mood berfungsi kesan pemikiran rakyat, rasa diri, tingkah laku, dan juga keadaan fizikal. Tujuan CBT adalah untuk membantu seseorang belajar bagaimana untuk mengenal pasti corak pemikiran negatif, memeriksa kesahihan mereka sendiri, dan juga menggantikan mereka dengan cara pemikiran yang lebih baik. Banyak kajian telah menunjukkan CBT berkesan merawat gangguan kemurungan sederhana dan ringan. Ia juga berkesan dalam mengurangkan masalah berulang pada sesetengah pesakit setelah melalui beberapa kali rawatan ini. Penyelidikan tambahan menunjukkan bahawa gabungan ubat antidepresan dan CBT boleh berkesan dalam merawat kemurungan utama.
Rawatan seterusnya adalah terapi sokongan, ia melibatkan seorang atau dua orang ahli terapi untuk membimbing kumpulan yang biasanya terhad kepada 10-12 individu. Kekuatan, kelemahan individu, dan interaksi interpersonal dikenalpasti dan dapt mengurangkan kesukaran cara komunikasi dalam hubungan  seperti kemarahan, keangkuhan, tidak sabar atau keluar dalam pandangan penuh sebelum kumpulan. Ahli terapi akan memberi pandangan yang lebih objektif tingkah laku dan kesannya terhadap orang lain. Tujuannya adalah untuk individu untuk mendapatkan maklumat tentang bagaimana mereka harus berkelakuan dengan orang lain dan bagaimana tingkah laku ini adalah memberi kesan secara peribadi, sekali gus membolehkan individu untuk mengenal pasti dan mengamalkan perubahan.
6.0 Kesimpulan
Berdasarkan keterangan diatas, dapatlah kita simpulkan bahawa kemurungan dikalangan warga emas adalah merbahaya dan perlu dikesan dengan segera. Segala gejala kemurungan haruslah diperhatikan oleh anggota keluarga seperti insomnia, kurang selera makan, tidak bertenaga, ingatan lemah, pergerakan yang perlahan, perasaan putus asa, hilang harapan untuk hidup, tiada kawalan emosi. Teori psikososial oleh Erik Erikson menerangkan warga emas mengalami perkembangan integriti melawan putus asa menunjukkan bagaimana warga emas menerima takdir kehidupan mereka sama ada secara negatif ataupun positif. Penyebab kemurungan berpunca dari pelbagai faktor seperti perubahan hormon, garis keturunan, tekanan hidup dan berkabung dengan kematian pasangan. Cara merawat penyakit kemurungan adalah seperti terapi kognitif tingkahlaku, intervensi perubatan dan terapi sokongan.
Pada usia senja ini, peranan anak-anak adalah amat penting dimana harus memberi tumpuan kepada penjagaan fizikal dan rohani kepada warga tua. Anggota keluarga haruslah peka dan mendekatkan diri dengan warga emas, limpahi kasih sayang seperti mana mereka telah membesarkan kita. Bantu mereka dalam setiap ketidak upayaan, tunjuklah rasa hormat sebagai seorang anak. Menempatkan di rumah orang tua tidak menimbulkan rasa kasih sayang sehingga mereka berasa bersendirian. Menerima setiap keburukan sebagai sejarah dan pengajaran. Pantau pemakanan  dengan mengamalkan tabiat pemakanan yang baik agar penyakit yang dihidapi sentiasa terkawal. Kekalkan gaya hidup aktif, kembangkan minat dan hobi dalam mengisi masa lapang, bersenam selalu, kekalkan tabiat tidur yang baik, urus tekanan dengan berkesan, bersikap realistik terhadap perubahan hidup dan akhir sekali berfikiran positif melalui cabaran hidup. Dorong mereka meningkatkan iman dan memantapkan jatidiri  contohnya membawa warga emas ke ceramah agama, masjid atau surau agar psikologi mereka sentiasa berada dalam keadaan positif dan hikmah. Hubungan erat warga emas dengan persekitaran sosialnya mampu membantu menghakiskan gejala kemurungan. Cegahlah ia sebelum parah kerana mencegah lebih baik dari mengubati.

7.0 Rujukan
Asri, Z.A.M (2010) Bila usia menjelang 40. Dipetik pada 7 Mac 2014 dari
                     http://www.drmaza.com
Anderson J.E (1951) The Psychology of development & personal Adjustment. New York: Henry
                     Holt.
Anna, M. (2014) Terapi Kognitif tingkahlaku untuk kemurungan. Dipetik pada 7 Mac 2014 dari
                     http://www.aboutdepression.net
Becker, H.S (1953) Human development & Edu.  New York: Longman      
Dadan, H. (2013) Gejala depresi pada aank dewasa, pria dan wanita. Dipetik pada 5 Februari
                     2014 dari http://www.gejalapenyakitmu.blogspot.com
Hurlock, E.B (1980) Development Psychology. New York : Mc Graw- Hill.Inc
Kadir, M. (2013) Masalah kemurungan dii kalangan warga tua. Dipetik pada 6 Mac 2014dari
                      http://www.mohdkadir78.wordpress.com
 Mohsi, A. (2010) Kemurungan. Dipetik pada 6 Mac 2014dari http://ahmoshc.com.media
Vicri, M. (2013) Teori Erik Erikson. Dipetik pada 5 Februari 2014 dari
                        http://vicrisoekomti.blogspot.com
(u.n) (2012) Teori Perkembangan Psikososial Erik Erikson. Dipetik pada 5 Februari 2014dari
                       http://psikologi.sosialterapan.stain.blogspot.com 
 (u.n) (2008) Apa itu kemurungan? Dipetik pada 5 Mac 2014dari http://www.utusan.com.my
(u.n) (2010) Segalanya tentang insomnia. Dipetik pada 6 Mac 2014 dari
                      http://www.sihatselalu.com.my
(u.n) (2014) Penyakit kemurungan. Dipetik pada 7 Mac 2014dari http://www.halaqah.net
(u.n) (2014) Kes bunuh di Bandar Baru Bangi  Diperik pada 5 Mac 2014 dari
                      http://www.beritasemasa.com.my

1 comment:


  1. Artikel yang menarik mengenai masalah kemurungan yang kian melanda rakyat Malaysia terutamanya golongan wanita. Statistik ini kian meningkat disebabkan tahap sosio-ekonomi yang semakin mencabar dan hubungan kekeluargaan yang tidak rapat. Pada pendapat saya, masalah kemurungan ini sebaik-baiknya dirawat dengan kaedah-kaedah yang tidak melibatkan penggunaan ubat psikiatrik seperti mengadakan sesi kaunseling dan sebagainya. Ubat psikiatrik hanya diberi sekiranya masalah pesakit telah menjadi serius seperti ada perasaan membunuh diri atau mencederakan orang lain dan sebagainya.

    ReplyDelete