Tuesday, November 12, 2013

Faktor pembentukan etika dan penguatkuasaan undang-undang

1.0  Pengenalan
Objektif tugasan saya pada kali ini adalah untuk menerangkan definisi etika, serta menilai faktor-faktor terlibat yang membentuk etika individu dan untuk membincangkan bagaimana kedaulatan undang-undang boleh digunakan sebagai panduan pemilihan dalam membentuk moral.
Etika boleh didefinisikan sebagai prinsip kelakuan moral yang diterima individu. Etika dan moral lebih kurang sama pengertiannya, tetapi dalam kegiatan sehari-hari terdapat perbezaan, yaitu moral untuk penilaian perbuatan yang dilakukan, sedangkan etika adalah untuk pengkajian sistem nilai-nilai yang berlaku. Etika adalah ilmu yang membahas perbuatan baik dan perbuatan buruk, betul dan salah manusia sejauh yang dapat difahami oleh fikiran manusia.
Makna Etika Profesional pula adalah prinsip moral untuk sesuatu kumpulan yang direka/dibuat untuk mengawal prestasi mereka di dalam menjalankan sesuatu tugas atau penggunaan sumber yang mereka ada. Menurut Ahli Sosiologi Etika adalah dipandang sebagai adat istiadat, kebiasaan dan budaya dalam berperilaku. Dalam konteks Islam etika juga dikenali sebagai akhlak. Semua manusia adalah sama darjatnya, tiada beza status social, harta, takhta, latar belakang atau keturunan. Yang membezakan darjatnya disisi Tuhan adalah akhlaknya, iaitu keperibadian dan keimanan.
Pelbagai faktor yang memainkan peranan penting dalam pembentukan etika individu.  Terdapat 5 faktor yang dilihat sangat besar dalam mempengaruhi nilai etika seorang individu iaitu keluarga, rakan sebaya, pengalaman hidup, nilai peribadi dan akhlak, dan faktor situasi. Ia membentuk tingkah laku beretika boleh membezakan  seorang dari seorang yang lain. Etika adalah relatif, ia tidak mutlak. Ini bermakna bahawa walaupun apa yang membentuk tingkah laku beretika adalah di mata orang lain, ia biasanya mematuhi norma sosial umumnya boleh diterima.  




2.0  Faktor Pembentukan Etika Individu.
Sikap  setiap individu adalah berbeza. Sama ada jujur, bongkak, baik, pemurah,  penyayang dan lain-lain lagi. Ia terbentuk atas didikan dan pengalaman hidup. Kini saya akan menjelaskan antara 3 dari 5  faktor pembentukan etika individu.
2.1  PENGARUH KELUARGA.
Individu mula membentuk standard etika mereka sejak zaman kanak-kanak mereka sebagai tindak balas kepada persepsi mereka tingkah laku ibu bapa mereka. Kanak-kanak adalah lebih cenderung untuk menerima pakai standard etika yang tinggi jika mereka melihat bahawa ahli keluarga mereka mematuhi piawaian yang tinggi (seperti bersikap benar) dan jika mereka menerima ganjaran untuk mematuhi, dan hukuman kerana tidak mematuhi, piawaian ini.
2.1.1 Kasih sayang.
Alam kehidupan remaja bermula dari sebuah keluarga. Keluarga yang pincang atau bercerai-berai akan mempengaruhi remaja dari sudut yang negatif. Kurangnya kasih sayang membuat anak ini memberontak dan membawa haluannya sendiri, tiada kawalan ibu bapa, tidak memberi didikan sempurna kepada anak sehingga anak ini terabai lalu membentuk sikap keras, kasar, suka menipu dan tidak menghormati orang lain.
Berdasarkan pemerhatian saya terhadap seorang rakan yang saya kenali di facebook, pada peringkat awalnya dia seorang yang ceria, ramah namun perahsia. Dia mengatakan dia seorang anak dato yang belajar di Jepun. Selepas beberapa bulan kemudian apabila rahsianya terbongkar, saya mendapati dia seorang penipu (menipu identiti),  berasal dari keluarga yang bercerai-berai, suka mempermainkan ramai lelaki, dan pendendam apabila lelaki yang diingini menolak untuk berpasangan dengannya. Saya percaya sikap ini terbentuk kerana kebenciannya kepada lelaki (ayah) akibat penceraian  dia kekurangan kasih sayang, tidak mendapat perhatian dari ibu bapa, tidak mempunyai keyakinan dengan identiti dirinya yang sebenar.  



2.1.2 Pendidikan
Remaja merupakan memimpin masa hadapan  yang akan membawa hala tuju negara ke arah yang lebih membangun. Pendidikan formal  harus diberikan kepada anak-anak supaya mereka bijak mengatur kehidupan sendiri malah mampu menonjolkan diri di kalangan sosial.
Dorongan dan pembabitan ibu bapa sangat penting dalam memberi pendidikan dan galakan minat anak-anak. Ibu bapa perlu memberi jalan kepada anak mereka dalam memilih kehidupan masing-masing. Penjagaan yang terlalu mengongkong dan memaksa anak-anak untuk mencapai target yang tiggi tidak membantu dalam membentuk etika seseorang.
Hal ini terbukti dengan pencapaian peperiksaan anak buah saya yang sentiasa mendapat  keputusan cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM. Dia bukan sahaja cemerlang dari segi akedemik malah merupakan golongan yang turut aktif dalam kokurikulum. Pembabitan ibu bapa dalam setiap langkah anak-anak adalah penting bagi membantu mereka mangejar matlamat disamping memberi khidmat nasihat dan sokongan moral.
2.1.3 Didikan agama
Bagi mewujudkan keluarga yang bermoral dan beretika sepenuhnya, anak-anak perlu diberi didikan agama yang sempurna dan  nilai kerohanian mesti disemai dengan nilai etika paling tinggi sejak dari kecil. Bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebung Asuhan yang betul hendaklah diberikan kepada mereka. Agama membimbing setiap orang ke jalan yang benar.

Ketika ini, kita lihat banyak remaja yang runtuh akhlak dan peribadi disebabkan mereka telah menyimpang jauh daripada ajaran agama masing-masing. Antaranya kes pembuangan bayi. Ini  jelas menunjukkan kurangnya didikan agama, kasih sayang dan perhatian ibu bapa. Pergaulan anak gadis tidak dikawal sehingga sanggup membunuh nyawa bayi sendiri demi menutup aib maksiat yang dilakukan.
Kes seumpama ini turut melibatkan rakan baik saya, dia telah melakukan maksiat dengan kekasihnya. Namun dengan iman yang tersisa dia telah mengakui kesilapan diri kepada keluarganya. Apa yang mampu dilakukan oleh keluarganya hanyalah menghantar anak mereka  ke pusat pengasih. Walaupun telah menconteng arang ke muka keluarga namun keluarga mereka tidak berpecah belah.

2.2  Pengaruh rakan sebaya.
Apabila kanak-kanak memasuki sekolah, mereka dipengaruhi oleh rakan-rakan dengan siapa mereka berinteraksi setiap hari. Menurut ahli psikologi yang terkenal Norm Chomsky, alam  remaja merupakan alam transisi daripada alam kanak-kanak ke alam dewasa. Berlaku perubahan fizikal dan tingkah laku. Remaja cuba membentuk peribadi dan personaliti masing-masing. Mereka memerlukan seorang rakan yang boleh menemani mereka sepanjang perkembangan zaman remaja. Dengan adanya rakan-rakan tersebut mereka boleh bertukar-tukar fikiran, berkongsi masalah dan bantu-membantu ke arah kebaikan atau sebaliknya. Kecenderungan remaja terhadap pengaruh rakan sebaya paling tinggi adalah pada umur 14 tahun hingga 18 tahun.
2.2.1 Terpengaruh nilai-nilai negatif
Remaja mudah terpengaruh dengan pujukan dan rayuan dari rakan sebaya yang akan menimbulkan masalah-masalah dan gejala-gejala negatif dan sosial. Antaranya kesan pengaruh yang boleh membentuk kelakuan atau etika remaja adalah menghisap rokok sebagai contoh. Dengan perasaan ingin mencuba dan ingin tahu tentang keseronokan menghisap rokok dan didorong oleh rakan-rakan sebaya maka mereka terus mencuba dan akhirnya terjebak dengan budaya menghisap rokok, gengsterime, bergaduh, buli, samun, penagihan dadah dan samun.
Ia akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, terutama bagi remaja yang tercicir dalam pendidikan dan menghadapi masalah keluarga. Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berada di dalam kumpulan tersebut, maka akan timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya.Mereka akan membuat kelakuan sesuka hati, hilang pertimbangan diri dan kewarasan. Lebih nyata tindakan mereka ini telah terkeluar daripada norma-norma masyarakat tanpa mampu memikirkan kesan-kesan akibat daripada perbuatan mereka.

Hal ini turut berlaku di dalam keluarga saya, iaitu abang saya yang berusia tua  setahun dari saya. Dalam keluarga saya tidak ada seorang pun yang merokok namun apabila dia berada ditingkatan 4 di bersekolah menengah, dia mula terjebak dengan aktiviti merokok. Pergi ke sekolah bukan dengan niat untuk belajar tetapi bergaul dengan rakan-rakan sebaya. Aktiviti-aktiviti ini dibuat secara berkumpulan. Bermula dengan ponteng kelas, merokok akhirnya mereka mula ponteng sekolah di kebun-kebun kelapa sawit.
2.2.2 Pengaruh positif
Dari sudut positif, pengaruh rakan sebaya boleh menjadikan remaja-remaja sebagai seorang yang berguna dan berbudi pekerti yang baik sekiranya mereka memilih untuk bergaul dan mendapatkan rakan-rakan yang boleh dipercayai dan mempunyai etika yang baik. Mereka akan melakukan perkara-perkara yang tidak terkeluar daripada norma-norma masyarakat. Sahabat yang baik adalah sahabat yang saling menegur, saling mengingati serta saling membantu. Memilih sahabat baik umpama berkawan dengan si penjual minyak wangi, kita akan turut terkena percikan wangiannya dan  jika berkawan dengan si tukang besi, pasti kita akan terkena percikan apinya.
Hasil pengaruh positif dari rakan sebaya dapat dilihat dalam diri anak buah saya, Atiqa dan rakan baiknya Anis. Mereka berkawan sejak kecil, dan kini mereka telah memasuki Universiti Malaya dalam bidang arkitek. Bermula dengan sikap suka bersaing secara sihat  dilihat mampu meningkatkan mutu pelajaran dan kehidupan mereka. Etika mulia yang dimiliki dikongsi, dididik serta dikembangkan melalui perkongsian, saling hormat- menghormati dan setia bersama-sama dalam susah atau senang.
2.2.3 Pertembungan Belia
Kerajaan telah memperuntukan sejumlah wang yang besar untuk mewujudkan program-program bersama-sama dengan badan-badan bukan kerajaan dan kelab-kelab belia untuk membentuk etika remaja-remaja kepada kelakuan yang baik demi masa depan negara. Salah satu program yang dijalankan adalah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Berasaskan kehidupan remaja yang suka bergaul, kerajaan mengambil tindakan bijak menyediakan PLKN kerana ia banyak memfokuskan kepada daya tahan diri, disiplin yang ketat, dan secara langsung ia akan membentuk jati diri yang baru, keperibadian yang baik dikalangan remaja dan belia untuk menempuh masa depan yang lebih mencabar. PLKN membuka ruang  kepada remaja untuk berubah serta membuktikan diri mereka yang sebenar. Pertembungan antara remaja negatif dan positif menghasilkan inidividu baru yang memiliki etika mulia dan lebih menghormati antara satu sama lain.
Perubahan seperti ini dapat dilihat dengan jelas pada anak saudara saya, Mohd Fairuz. Pada permulaannya dia seorang yang agak senyap, tidak suka bergaul dan hanya membuat perkara yang diigini sahaja. Setelah memasuki PLKN pada bulan September tahun lalu, berlaku perubahan pada wataknya. Kini dia yang memiliki badan yang agak sasa, mula bersifat lebih bertanggung jawab, berkepimpinan, berani malah menjadi sangat ramah dan ceria.
2.3 Pengalaman hidup.
Pelbagai peristiwa penting telah kita alami, saban hari sebenarnya menjadi satu pedoman dan pengajaran mematangkan diri kita dan memberi sesuatu pengalaman baru di dalam hidup kita. Maka, setiap perbuatan serta tindak-tanduk sama ada ianya beretika mahupun tidak asalkan kita pernah mengalaminya secara tidak langsung akan mendorong diri kita sama ada mengelak ataupun meneruskan perbuatan yang kita pernah lakukan tersebut.
Keperibadian adalah sifat yang berasal dari kebiasaan sehari-hari yang kita lakukan selama terus menerus mungkin sejak dari kecil. Kepercayaan yang kukuh kepada sesuatu pemikiran membentuk etika individu.
2.3.1 Pemikiran negatif
Kebiasaan untuk selalu berfikir negatif atau hal buruk tentang sesuatu pada siapa pun akan membentuk keperibadian anda yang satu ini. Dengan selalu berfikir negative pada segala sesuatu yang ada dihadapan anda akan menyebabkan persepsi anda semua objek yang anda lihat menjadi buruk. Hal ini akan merugikan diri anda kerana orang yang selalu berfikiran negatif tidak akan memiliki kepercayaan terhadap orang lain sehingga akan sukar mengubah sudut pandangan, membuat jiwa tidak tenang dan sentiasa dalam ketakutan.
Saya menghubungkaitkan pemikiran negatif ini dengan ibu saya. Beliau seorang yang bersifat konservatif, pesimis dan sentisa mempunyai syak wasangka. Pada pandangan normal mungkin beliau hanya berhati-hati tetapi ia berlaku setiap saat, pada setiap keadaan malah pada setiap orang yang ditemui juga. Beliau menjaga anak-anaknya dengan penuh kongkongan kerana berfikir dunia diluar sana adalah sangat bahaya. Hal ini mungkin kerana berita-berita yang terpapar di media masa seperti kes pembuangan bayi, kes ragut, kes samun, kes simbah asid dan pelbagai lagi. Maka beliau sentiasa dalam keadaan takut untuk keluar dari rumah apatah lagi menjemput sesiapa masuk ke rumah.
Hasil pemerhatian yang saya perolehi, saya melihat persamaan karektor antara ibu saya dan juga nenek saya. Beliau juga seorang yang sangat konservatif, pesimis dan penuh syak wasangka.  Nenek saya sering melarang anak-anak keluar rumah terutamanya perempuan dengan momokan yang menakutkan. Akhirnya larangan dan momokan tersebut diturunkan pula oleh ibu saya kepada saya.
2.3.2 Berjimat cermat
Pada 30 tahun yang lepas, kehidupan keluarga saya sangat miskin. Ibu bapa saya terpaksa memberikan anak-anak kepada orang lain untuk dipelihara. 2 orang kakak saya dipelihara oleh bapa saudara saya yang berkerja sebagai guru besar sejak berumur 11 dan 12 tahun. Namun mereka tidak dilayan sebagai seorang kanak-kanak. Mereka dibiarkan tinggal berdua didalam sebuah pondok tanpa memberi bantuan makanan mahupun keperluan harian.
Mereka terpaksa berusaha sendiri dengan bekerja memungut buah relai kelapa sawit, bekerja di sawah padi, menjual buah kelapa dan mengambil upah menjaga kanak-kanak sehingga bersekolah menengah. Kehidupan perit mereka diketahui ibu bapa saya namun kerana jarak  maka ibu bapa saya hanya mampu datang sesekali untuk menjenguk dan memberi sedikit keperluan harian.
Kini mereka telah bekerja sebagai seorang guru dan pakar IT namun kehidupan perit dahulu membentuk sikap berjimat cermat yang sangat ketara. Mereka tidak makan di restaurant, tidak tertarik dengan KFC atau McDonald. Hal ini turut dilihat serius apabila mereka juga  tidak membeli pakaian baru ketika hari raya dan seterusnya memberi kesan emosi kepada anak-anak buah saya.
2.3.3 Patuh
Pada tahun 2006, saya mengambil STPM dalam bidang sains tulen. Keputusan peperiksaan yang agak baik membolehkan saya dan rakan-rakan terpilih untuk menyambung pelajaran di kolej  jururawat. Disebabakan ramai antara kawan-kawan yang telah pergi ke kolej jururawat, saya juga membuat keputusan untuk turut serta disamping mendapat sokongan abang dan ayah saya.
Namun  ibu saya tidak merestui, beliau memerlukan saya sentiasa disisinya kerana pandangannya semakin merosot. Tetapi  saya tetap berkeras untuk menyambung pelajaran. Keesokan harinya ibu saya terpaksa dikejarkan ke hospital kerana serangan strok. Doktor mengatakan serangan strok berpunca dari tekanan darah tinggi yang kiat akibat tekanan perasaan, maka sejak hari itu saya terus menghentikan niat untuk menyambung pelajaran.
Kini ibu saya telah pun buta. Hasil perbincangan keluarga membolehkan saya belajar secara jarak jauh sambil menjaga ibu saya dikampung. Selepas peristiwa itu saya sentiasa patuh kata ibu saya, kerana takut serangan strok tersebut berulang kembali dan sentiasa menyenangkan hati beliau dan mengelakkan beliau dari merasa tertekan.
3. 0 MENGUATKUASAKAN UNDANG-UNDANG
Undang-undang sebagai asas untuk membuat keputusan. Definisi undang-undang adalah satu set peraturan konsisten sejagat yang diterbitkan secara meluas, diterima umum dan biasanya dikuatkuasakan, ia ditubuhkan oleh masyarakat untuk mengawal tingkah laku dalam masyarakat itu.
Undang-undang sebagai panduan moral  memperuntukkan peraturan dalam mendidik masyarakat bagi membentuk etika yang mampu diterima dan betul. Peraturan ini mencerminkan pilihan kolektif ahli masyarakat mengenai apa-apa keputusan dan tindakan yang menjejaskan kebajikan rakyat.
3.1 Akta pengangkutan jalan dan KEJARA
Kes kemalangan jalan raya semakin meningkat terutama ketika musim perayaan. Maka kerajaan secara perlahan-lahan melaksanankan penggunaan kamera AES pada 23 September tahun lalu dengan kapasiti 14 buah kamera. Kawasan-kawasan yang dipasang AES adalah kawasan yang menjadi lokasi kemalangan. Rekod mencatatkan angka kematian kemalangan jalan raya di Malaysia adalah yang tertinggi di dunia, iaitu 19 kematian setiap hari.
Kamera AES itu dipasang di kawasan-kawasan yang mempunyai had laju rendah iaitu 70 km/jam ataupun kawasan jalan bandaran dalam had laju 30 km/jam. Di lebuh raya pula, AES dipasangkan di kawasan kurang 110 km/jam. Papan tanda mengenainya diletakkan antara 50 hingga 500 meter daripada persimpangan lampu isyarat dan kemudiannya dijarakkan semula sehingga satu kilometer. Saman akan dikeluarkan bagi mereka yang melanggar had laju yang ditetapkan.
Kesan penggunaan kamera AES, kadar kemalangan sedikit berkurangan. Pengguna jalan raya tidak sepatutnya membawa kereta dengan laju atau membahayakan nyawa sendiri dan orang lain. Apa sahaja tindakan kerajaan tidak akan berkesan sekiranya pengguna jalan raya sendiri tidak mahu merubah sikap masing-masing.



3.2 Akta perhimpuan aman.
"Saya berharap rakyat Malaysia cukup matang untuk memahami bahawa apabila tiadanya undang-undang, tetapi kawalan diri mesti diamalkan, anda mesti mendisiplinkan diri agar tidak menjejaskan keselamatan negara,” Tun Dr Mahathir
Berikut merupakan kata-kata Tun Dr Mahathir Mohammad dalam ucapannya mendorong rakyat bersama-sama menjaga keselamatan dan keamanan negara. Namun apa yang berlaku kini berbeza dangan harapan yang dilontarkan oleh mantan perdan menteri itu. Perhimpunan BERSIH yang berlangsung pada tahun lepas telah mencacatkan ketenangan negara Malaysia. Pelbagai insiden terjadi yang melanggar Akta Perhimpunan Aman 2011. Antaranya perlakuan ganas, merempuh sekatan polis serta membawa anak kecil, jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM20,000.
Sepatutnya rakyat tidak perlu menyertai perhimpuanan-perhimpuanan yang bakal mengganggu-gugat pentadbiran negara. Cara paling bijak adalah dengan mengundi pada pilihan raya tahun ini. Rakyat tidak sepatutnya bersikap gelojoh dan membuta tuli, kerana perhimpunan haram ini hanya akan membusukkan nama negara.
3.3 Akta hasutan
Pada penghujung tahun 2010 polis Bukit Aman telah berjaya mengesan dan menangkap seorang lelaki Melayu berusia 40 tahun berhubung kes menghina dan mencela Sultan Johor,  Institusi Raja-Raja dan PDRM melalui laman sosial Facebook  bernama SULTAN YANG SETAN. Suspek ditahan dibawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, oleh pasukan 'Task Force' yang ditubuhkan khas bagi mengesannya. Suspek telah menggunakan akaun, internet, dan gambar milik orang lain pada akaun tersebut. Mangsa, Rahayu, merupakan rakan facebook saya. Gambarnya telah digunapakai sebagai gambar akaun SULTAN YANG SETAN. Aduan polis telah dibuat oleh tunangnya Hafiz Aziz.

Berdasarkan apa yang telah berlaku, dapat kita simpulkan bahawa etika itu mesti digunapakai setiap masa dan di mana sahaja. Etika dalam berfacebook menghalang keras aktiviti menfitnah yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Pengguna rangkaian social perlu lebih berhati-hati terhadap setiap bicara, komen atau posting yang dibuat selain tidak menipu, mencuri identiti dan perlu sentiasa menjaga hati sesama manusia.

3.0  Kesimpulan
Etika adalah ilmu yang membahas perbuatan baik dan perbuatan buruk, betul dan salah manusia sejauh yang dapat difahami oleh fikiran manusia. Faktor pembentukan etika individu yang terlibat antaranya kekeluargaan, pengaruh rakan dan nilai moral berdasarkan pengalaman hidup. Selain itu penguatkuasaan undang-undang turut membentuk sikap individu melalui proses tangkapan, saman atau denda.
Realitinya faktor kekeluargaan memerlukan penekanan tentang kasih sayang, perhatian, pendidikan dan didikan agama bagi membentuk remaja yang berbudi pekerti mulia. Rumah merupakan tempat pertama mereka belajar, mengadaptasi ilmu berdasarkan pemerhatian ke atas ibu bapa sebagai model pendidikan. Pengaruh rakan sebaya merupakan faktor kedua terbesar dalam pembentukan etika seseorang. Hal ini kerana setiap orang memerlukan rakan, maka hendaklah bijak memilih kawan. jika mendapat rakan yang baik, maka banyak pengaruh positif diterima dan begitu juga sebaliknya. Manakala nilai moral iaitu nilai yang dipelajari dari kehidupan kita seharian tidak kira sama ada itu merupakan pengalaman sendiri mahu pun orang lain. Ia juga memerlukan kebijaksanaan kita untuk membezakan dan memilih samada etika itu betul atau salah.
Penguatkuasaan undang-undang pula adalah  cara mendidik masyarakat supaya lebih berdisiplin dalam kehidupan seharian. Penguatkuasaan undang-undang melibatkan denda, penangkapan, saman dan lain-lain lagi oleh pihak polis. Ia bertujuan menjaga keamanan dan kemakmuran negara Malaysia. Melalui penguatkuasaan undang-undang, pembentukan etika juga boleh terjadi sekiranya rakyat Malaysia memberikerjasama.
Jika kita mahu melampaui etika dalam keputusan dan tindakan kita sendiri, kita boleh berbuat demikian. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh melampaui undang-undang, maka kita mematuhi standard moral yang tidak mematuhi majoriti penduduk. Kita hidup dalam masyarakat yang demokratik. Oleh itu, jika kita tidak suka sesuatu yang kita lakukan, kita perlu untuk mendapatkan majoriti pengundi untuk meluluskan undang-undang menyekat tindakan ini. Dalam menduduki negara yang makmur ini kita perlu mematuhi majoriti penduduk.
(2910 patah perkataan)
4.0  Rujukan
Ann, H.J, & Kok, T.K, (2011) OUMM3203 Professional Ethics (2nd Ed)
        Selangor,  Malaysia: Meteor Doc. Sdn. Bhd.

Bernama (2012) Perhimpunan Bersih gagal patuhi akta perhimpunan awam.
              Av: http// www.sinarharian.com (2 Mac 2013)
Bernama (2010) Penahanan pemilik akaun facebook Sultan Yang Setan
                 Av: http// www.carigold.com (2 Mac 2013) 
Carol A.B, & Buchholtz A.K (2006) Business and Society: Ethics and stakeholder         management (6th ed)
              Ohio: South-Western
Hasanah (2012) Faktor-faktor yang memepengaruhi perkembangan peribadi seseorang remaja  
               Av: http// www.cikgu-hasanah.blogspot.com (24 Feb 2013) 
Hazil Abd Hamid (1990). Sosiologi Pendidikan Dalam Perspektif Negara.
              Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Jawa (2011) Faktor yang membentuk etika seseorang
                Av: http// www.dakwa4u.blogspot.com (1 Mac 2013) 
M. Saleha (2012) AES dan sikap kita sebagai pengguna jalan raya
     Av: http// www.ummatanwasatan.net (24 Feb 2013)
Pinvader (March, 2011). Kemahiran Penting Dalam Mengatasi Pengaruh Rakan Sebaya
               Av:  http:// utusan-malaysia-online.com (1 Mac 2013)R. Erni (2010) Definisi etika
     Av:  http//
www.erniritonga123.blogspot.com. (24 Feb 2013)
Rozlizam (2010) Etika profesionalAv: http// www.badzam.blogspot.com (2 Mac 2013)
(u.n) (n.d) 10 Keperibadian yang harus dihindari  Av: http// www.carapedia.com (24 Feb 2013)
(u.n) (n.d) Rakyat matang   Av: http// www.suaralensa.blogspot.com (24 Feb 2013)

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Salam Cik Isabella_Moy, sya ingin menggunakan kajian yang telah cik jlnkn sebagai reference kpd assignment yg sya sdng siapkan. Sya berharp cik x keberatan membrithu tajuk penuh kajian, trkh kajian diterbitkan dan juga nma penuh individu yang menjalankn dan menyediakan laprn kajian ini. Krjsama cik sya dhulukn dgn ucpn terima kasih.

    ReplyDelete
  3. mohon jadikan bahan tuan untuk rujukan tugasan saya tq

    ReplyDelete